search slide
search slide
pages bottom
Huru-hara Chin Peng kembali

KUALA LUMPUR 31 Mei – Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) memberi amaran negara akan mengalami huru-hara jika Chin Peng dibenarkan kembali.

Naib Presidennya, Adiwijaya Abdullah berkata, ini kerana pengganas komunis paling dikehendaki itu telah meninggalkan kesan yang sangat pahit kepada rakyat terutama orang Melayu.

Beliau berkata, tidak ada sebab untuk membawa pulang pengkhianat itu kerana ia akan menghiris perasaan bekas tentera dan ahli keluarga yang kini menderita akibat kekejaman komunis.

“Kami menentang sekeras-kerasnya usaha membawa kembali Chin Peng ke negara ini. Jangan biarkan dia jejakkan kaki di sini.

“Fikir-fikirkanlah pandangan dan perasaan rakyat di negara ini terlebih dahulu. Negara kita sudah aman jadi janganlah timbulkan kekecohan pula,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Pengerusi Lembaga Beradat PSSGM di setiap negeri untuk menganggotai Lembaga Beradat persatuan itu di peringkat kebangsaan selain melantik tujuh orang untuk menganggotai Ahli Lembaga Waris Amanah pertubuhan tersebut.

Pelantikan itu dibuat setelah PSSGM menamatkan mesyuarat selama dua hari berakhir hari ini di Hotel D’ Palma, Ampang, Selangor.

Menurut Adiwijaya, PSSGM juga menyatakan sokongan terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak membawa pulang Chin Peng.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.